X-EC 78-82

Pesatuan X-EC 78-82 ditubuhkan pada 2010 bertujuan menyambung tali silaturrahim bekas-bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Johor Bahru yang menuntut di sana pada tahun 1978 hingga 1982. Ia dilihat sebagai satu titik fokal yang dapat merencana dan melaksana pelbagai aktiviti bagi tujuan kebajikan & pembangunan untuk semua ahli dalam apa jua bentuk sekali pun.
 
Bukan untuk ahli-ahli X-EC sahaja, malah pelbagai aktiviti juga ditumpukan khas kepada MSAB demi menghargai & menyanjung tinggi jasa dan ilmu yang telah diperolehi ketika menuntut di sana.
 
Sehingga hari ini, MSAB telah berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang. Tradisi kecemerlangan yang dipupuk di MSAB telah menyediakan pelajar-pelajarnya untuk menempa kejayaan dalam bidang masing-masing. Hasil usaha gigih yang berterusan daripada para guru, kita lihat pelajar-pelajar MSAB hari ini bertebaran di seluruh dunia.
 
Di samping kecemerlangan akademik, bekas penuntut MSAB ini telah dibentuk untuk memiliki kredibiliti yang tinggi. Ramai bekas penuntut MSAB telah diberi kepercayaan untuk mengemudi banyak organisasi di dalam dan di luar negara.
 
Kecemerlangan yang ditempa ini sebenarnya masih kecil. Terlalu banyak ruang yang boleh diperkemaskan lagi untuk memperkasakan graduan MSAB. Aspirasi terbesar yang ingin dicapai oleh X-EC 78-82 adalah untuk melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang dalam bidang masing-masing di samping bersahsiah tinggi dan berketerampilan unggul.
 
Ini merupakan satu harapan yang terlalu besar untuk diletakkan pada pundak – pundak barisan pendidik MSAB semata-mata. Justeru itu, X-EC 78-82 berhasrat membantu dalam aspek-aspek berikut:
 
  • Menjalin kerjasama erat dengan pihak maktab untuk menjayakan program – program akademik, sukan dan pembinaan insan.
     
  • Menerapkan nilai berbakti di kalangan lepasan MSAB dan juga di kalangan  penuntut yang masih menuntut di MSAB.
     
  • Mewujudkan satu jaringan kerjasama antara lepasan MSAB, sektor awam dan korporat dan pihak maktab demi mencapai kecemerlangan bersama.
     
  • Memberikan pandangan-pandangan dan kritikan membina ke arah melahirkan generasi  penuntut yang gemilang. 

Dengan kerjasama erat yang terjalin antara X-EC 78-82 dan pihak maktab, diharapkan agar MSAB  akan terus gemilang dalam melahirkan generasi harapan yang akan merencanakan masa hadapan ketamadunan Malaysia dan dunia.